RANAU 1 Mac – Jika pendakian sebelum ini Mohd. Nor Mat Amin terpaksa menahan cuaca sejuk melampau sehingga lima darjah celsius tetapi hari ini pendaki solo itu terpaksa menahan panas terik sampai suhu mencecah 42 darjah celsius.
Keadaan tersebut membuatkan jurugambar Utusan Malaysia itu terpaksa memperlahan pendakian kali ke-60 hari ini tetapi namun begitu ia tidak menjejas ekspedisinya.
“Cuaca hari ini yang panas terik dan perit membuatkan pendakian hari ini agak perlahan kerana kurang selesa. Bagaimanapun ini bukan satu cabaran atau halangan besar bagi saya dan krew pendakian.
“Pendakian yang bermula pada pukul 7.20 pagi ini tiba di puncak kira-kira pukul 3.33 petang. Kemudian turun semula dari puncak dan sampai ke tempat permulaan pendakian pukul 8 malam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kepanasan suhu setinggi 42 darjah celsius itu adalah dari pukul 12 hingga 1 tengah hari kira-kira dua kilometer lagi untuk sampai ke puncak Gunung Kinabalu.
“Setiba di puncak, suhu turun sehingga 36 darjah celsius dan ini membuatkan saya dan krew pendakian, penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), Mohd. Munir Mohd. Hassan dan jurupandu, Azlie Donald sedikit keselesaan,” katanya.
Pada 31 Disember lalu, Mohd. Noor, 42, memulakan misinya menawan puncak Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali yang dijadual berakhir 20 April ini sebelum pendakian baru di Menara Kuala Lumpur.
Beliau juga akan melakukan 111 kali pendakian di menara itu dari 1 hingga 7 Mei ini untuk melayakkan dirinya melakar nama dalam Guinness World of Records.
Projek Pendakian Solo 1Malaysia 2009-2010 yang bertemakan 1Pendakian, 1Kemuncak dan 1Malaysia keseluruhannya mengambil masa selama lima bulan.
No comments:
Post a Comment